Thursday 31 January 2013

Islam dan Politik


Hubungan agama dan politik adalah hubungan secara paduan. Tidak boleh diasingkan dan tidak boleh dipisahkan. Sudah cukup jelas dalil-dalil dari al-quran, hadis dan juga sirah nabawiyah berkenaan dengan politik dalam islam. Sikap sekular yang bersarang dalam minda orang islam pada hari ini bukanlah isu yang baru, tapi amat malang sekali jika orang yang mangaku sebagai pendakwah juga terkena ‘pandemik’ ini. Kenapa? Sudah cukupkah pengetahuan/tarbiyah anda sehingga anda alergi dengan perkataan politik?

APABILA OTAK DISERANG
Serangan pemikiran adalah senjata yang paling kuat. Serangan ini bukan sahaja menyerang orang islam malah orang bukan islam juga terkena. Orang bukan islam mudah terkena kerana mereka tidak mempunyai ikatan (aqidah) ketuhanan, tetapi mengapa umat juga mudah terkena dengan serangan ini?

Melalui definisi beberapa terminologi yang berkaitan dengan ‘pandemik’ ini ialah:

Sekularisasi bermaksud pembebasan manusia dari bimbingan agama dan metafizik, menukarkan tumpuan manusia dari alam akhirat ke alam dunia.

Dikotomi adalah memisahkan antara dua perkara, melihat dua perkara yang berkaitan secara terpisah dan bertentangan, manakala Dualisme ialah pemikiran yang meletakkan sesuatu secara terpisah seperti antara agama dan politik.

Teks dalam Bible menyatakan
“ Serahkan urusan kekaisaran kepada kaisar, dan serahkan urusan Allah kepada Allah”


TERLEBIH SEKULAR DARI SEKULARIS

Teringat satu pepatah arab berkenaan dengan bahaya orang yang melampaui batas. Orang lelaki yang terlebih sifat perempuan dari orang perempuan. Orang perempuan yang terlebih sifat lelaki dari lelaki. Kebiasaannya orang yang ‘terlebih’ ini sangat bahaya. Umpama terlebih kuah dari sudu.


Seorang pemikir sosialis Arab yang terkenal, Dr Munif Ar-Razi dalam buku Dirasat fi al-isytirakiyyah berkata:
“Anggapan bahawa sosialisme hanya merupakan suatu aliran ekonomi adalah anggapan salah. Sosialism memang memberikan penyelesaian dari segi ekonomi terhadap pelbagai persoalan lain. Akan tetapi penyelesaian tersebut hanya satu daripada sekian banyak sisi yang ada pada aliran sosialisme. Pemahaman pada suatu sisi sahaja ( ekonomi ) tidak dapat berbuat banyak kerana pemahaman tersebut tidak bersifat mendalam. Sepatutnya aspek lain juga mesti diperhatikan seperti tujuan jangka panjang yang ingin dicapai oleh aliran sosialism ini


Sosialisme adalah suatu aliran atau fahaman terhadap kehidupan secara menyeluruh, bukan hanya aliran ekonomi sahaja, tetapi juga politik, pendidikan, pengajaran, perkumpulan, kesihatan, akhlak, etika, sains dan sejarah serta aspek kehidupan lain sama ada besar ataupun kecil. Jika tuan adalah seorang sosialis, bererti tuan memiliki pemikiran sosialis terhadap segala aspek yg disebutkan di atas. Tuan juga akan berusaha memiliki semua aspek di atas secara sosialis”


Golongan sosialis pun ‘memahami’ erti kejumudan, kenapa orang islam yang berilmu sukar untuk mengerti? Jika kita mengkaji dan memahami isi kanduangan al-quran, hadith, sirah dan juga sejarah islam, pasti kita sedari akan kesyumulan islam. Tetapi kenapa fikiran kita masih lagi jumud. Jumud dalam erti kata menyempitkan kefahaman berkaitan politik dalam islam.

DARI PERSPEKTIF YANG SILAP

Apabila membaca tulisan seorang ulama dari Perak dalam artikelnya yang berkaitan politik. Mungkin betul dan mungkin silap. Kesilapan memahami kegiatan politik semasa menyebabkan ada yang tersilap faham. Orang di luar rumah kadangkala tak tahu apa yang berlaku di dalam rumah, jadi orang yang berada di dalam rumah lebih mengetahui apa yang berlaku. Orang yang tidak terlibat dengan politik semasa tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku, yang lebih menyedihkan mengkritik bersandarkan fakta yang kurang tepat.


Kekacauan pada fahaman Aristotelianism dan Machiavellianism, menyebabkan ramai ‘ulama’ menganggap politik sekarang sudah rosak kerana mengangkat prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’. Apakah indikator yang paling tepat untuk mengesahkan bahawa politik sekarang adalah politik yang berlandaskan syariah? Adakah kita hanya mahu menantikan kelahiran Ibnu Farabi atau Ibnu Rusyd yang baharu?.


Bagi saya, politik menggunakan parti, NGO, akademik, dan sebagainya adalah hanya suatu bentuk ekspresi politik dalam medium yang berlainan. Hakikatnya semua itu adalah sama dengan politik yang digunapakai oleh nabi SAW dan juga pejuang-pejuang islam bersesuaian dengan zaman. Tidak seharusnya kita mengasingkan politik. Contohnya apabila berlaku masalah rasuah, kita mendakwa bahawa itu adalah urusan dalam poltik kepartian atau politik kekuasaan, jadi golongan-golongan lain contohnya ahli akademik, ‘ulama’ tidak mengendahkan kerana itu bukan jalan mereka.

Jika kita menyatakan bahawa suasana politik pada hari ini bukan suasana politik pada zaman nabi. Memang betul, kerana waqi itu sudah berbeza tapi masih lagi berlandaskan pada syariah islamiyah.
Seperti yang dinyatakan oleh Sayyid Qutub di dalam Ma’alim Fi At-Thoriqi:


“ Ciri kedua dalam manhaj agama ini adalah waqi’ah harakiah…ia adalah suatu pergerakan yang memiliki beberapa fasa. Setiap fasa terdapat cara dan sarana……”



"ISLAM BERHAK MENDIRIKAN SEBUAH NEGARA"
~Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawy~


Wednesday 30 January 2013

Pintu Taubat : Aku Yang Berdosa


"Pintu Taubat". Pernahkah anda menonton sebuah siri drama di televisyen berbayar yang menyiarkan kisah seorang manusia yang lalai dengan pelukan duniawi dan akhirnya tidak sempat untuk bertaubat atas segala kesalahannya terhadap Maha Pencipta?

Rasa kesal dan sesal tidak lagi berguna jika nyawa betul-betul dihujung tanduk. Apa yang mereka boleh lakukan? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya"
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)

Gerun bukan? Cuba letakkan diri kita di saat nyawa betul-betul dihujung halkum kita. Tidak terkata dan terbayang dengan apa-apa yang akan berlaku. Saat mati itu adalah rahsia dari Allah, tiada siapa di atas muka bumi ini yang mengetahui saat bila kita akan dipanggil oleh nya hatta seorang ibu yang melahirkan dan menyusukan kita serta membesarkan kita pun tidak dapat meneka saat ajal itu tiba. Mati itu tiada diskriminasi, mahupun dia adalah seorang raja, hartawan, papa kedana, alim, penjenayah pasti akan merasai saat kematian.

Dalam firman Allah SWT mengingatkan kita bahawa;

"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat."
(Surah Ali 'Imran ayat 185)

Jika berbicara mengenai taubat, secara automatik kita akan menyentuh sedikit perihal hidup dan mati. Mereka bertiga seolah-olah mempunyai link yang tersendiri dan unik untuk dikupas. Pasti pernah kita terfikir,

"Bagaimana jika aku mati dalam keadaan tidak sempat untuk bertaubat dari segala dosa-dosa aku yang lampau?"

"Adakah aku akan mati dengan tenang jika dosa-dosa lalu ibarat menghambat aku sendiri di kari akhirat kelak?

"Dan bilakah waktu Malaikat Izrail itu akan datang untuk mencabut nyawa ku?"

Meremang seketika bulu roma apabila nama Malaikat Izrail disebut. Ibarat ia dekat dan sedang memperhatikan kita. Subhanallah.

Saya punya satu kisah yang boleh diambil iktibar dan pengajaran. Dan cerita ini merupakan sumber inspirasi saya untuk terus menulis artikel ini. Kisah ini bermula dengan seorang pelajar universiti yang biasa sahaja. Tahun pertama, dialah Imam pertama saya ketika saya ingin mengerjakan solat Zohor di surau asrama. Gaya, penampilan dan tutur kata tidak banyak berbeza dengan pelajar lain.

Penampilannya tampak seperti orang Bandar mungkin Kuala Lumpur, Johor Baharu atau Penang. Selepas beberapa semester, dia sudah tidak kelihatan di surau itu lagi. Dan akhirnya saya terserempak dengannya ketika kuliah tamat. Rambutnya kelihatan perang dan nampak lebih bergaya. Saya mula untuk menilai yang dia bukanlah seorang yang betul-betul mendalami ajaran Islam. Dan kini, solat maghrib di surau yang sama, dialah Imam yang mengetuai Jemaah dalam solat tersebut. Dia kembali kepada fitrah yang dulu saya pernah jumpa. Saya gembira dan dari situ, saya fikir jika dia boleh berubah kepada yang lebih baik, kenapa tidak saya? kita?

Pintu taubat Allah sentiasa terbuka untuk kita sebagai umatnya. Jangan kita sesekali berputus asa dengan Rahmat dari Allah yang menciptakan kita. Firman Allah dalam Surah az-Zumar ayat ke 53,

"Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Itulah yang saya ingin sampaikan bahawa Pintu Taubat Allah sentiasa terbuka luas untuk hambanya. Ayat diatas tiada sebarang syak wasangka dan keraguan untuk kita terus istiqamah memohon ampun dariNya dan meninggalkan segala kemungkaran yang telah kita lakukan. Dialah jua Yang Maha pengampun lagi Maha Mengasihani.

Tertarik saya dengan satu perkara yang membezakan kita (umat Nabi Muhammad) dengan umat-umat nabi terdahulu. Disebutkan bahawa Nabii Adam A.S telah berkata,

"Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W empat kemuliaan yang tidak akan diberikan kepadaku:

1. Taubatku hanya diterima di Kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad SAW diterima disebarang tempat oleh Allah SWT
2. Pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah SWT, maka Allah S.W.T telah menjadikan aku telanjang. Umat Nabi Muhammas SAW membuat derhaka dengan telanjang, tetapi Allah SWT memberikan mereka pakaian.
3. Ketika aku berbuat derhaka kepadaNya, maka Allah SWT telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi umat Nabi Muhammad SAW berbuat derhaka, Allah SWT tidak memisahkan mereka.
4. Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga, tetapi umat Nabi Muhammad SAW derhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah S.A.W."

Hanya syukur yang dapat kita luahkan betapa kasihnya Allah SWT terhadap kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW . Namun sayang, masih lagi ada manusia yang celik tetapi hakikatnya mereka buta. Hati mereka buta untuk melihat kasih sayang dari Allah SWT itu.

Berbalik kepada cerita saya tadi, dia sangat beruntung kerana telah dibukakan hati nya untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Kisahnya perlu diambil pengajaran kepada diri saya sendiri untuk teurs istiqamah dalam melawan segala godaan syaitan dan hawa nafsu.

Kita manusia biasa yang sering kali melakukan kesilapan dan kesalahan. Jika kita seorang yang peka dan mengetahui akan segala kesalahan yang dilakukan itu adalah salah dan melawan tuntutan dari Allah. Alhamdulilah, kita punya peluang untuk berubah kepada yang lebih baik. Kini ramai remaja mahupun dewasa sebenarnya hilang arah hidup mereka dan tidak pernah ingat akan tuntutan Allah dan laranganNya kepada kita. Mereka terus berbuat dosa dan kemungkaran. Dimana iman yang senipis kulit bawang ketika itu? Adakah terus lesap dan menghilang begitu sahaja?

Sebagai kata penutup, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri terlebih dahulu dan pembaca sekalian agar kita sentiasa ingat bahawa dosa yang kita lakukan merupakan saham kita yang akan dibawa ke sana. Ia sama juga dengan segala kebaikan dan pahala kita akan turut dibawa ke sana. Bagaimana jika timbangan amalan dosa/buruk melebihi daripada amalan baik/pahala? Pada saat itu, rayuan untuk kembali ke dunia tidak akan dilayan sama sekali.

Justeru sebelum terlambat, bersegeralah kita untuk memohon ampun dan bertaubat dengan segala dosa, kemungkaran dan kelalaian kita yang lalu supaya Allah dapat mengampunnya sebelum hembusan nafas kita yang terakhir. Renungkanlah  sepotong ayat Al-Quran, Surah Ali-'Imran ayat 135-136 untuk kita muhasabah dan hayati.

"Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal"

Wallah Anta A'lam

- Artikel iluvislam.com

Perisai Muslimah


Muslimah itu seorang wanita islam yang berperibadi islam. Solehah pula, seorang wanita islam yang berperibadi islam dan beristiqomah dengan keperibadiannya, hanya menurut pandanganku sahaja. Jadi, jika ingin menjadi solehah, wajiblah menjadi muslimah terlebih dahulu.

Perisai itu, ianya besar dan melindungi hadapan dan belakang. Bukan hanya pahlawan pedang dalam sebuah peperangan sahaja mempunyai perisai. Tapi perisai ini akan sentiasa ada pada seorang muslimah yang solehah. Perisai ini bisa ditembusi panahan panah juga acuan peluru, tapi itu bukan bererti ia lemah atau tidak boleh melindungi. Kuasanya lebih hebat, mampu mematahkan niat yang jahat terhadap pemakainya.

Apabila perisai ini dibawa bersama seorang muslimah, ia tidak kelihatan seperti pahlawan perang bahkan muslimah ini kelihatan lebih 'sweet' dari wanita-wanita 'hot' yang tidak menutup aurat di luar sana. Kerana neraka itu 'hot', syurga itu 'sweet'.

Perisai, itulah tudung labuh. Semakin labuh tudungnya, semakin segan orang sekeliling terhadap pemakainya. Bukan mengharap penghormatan orang lain, cuma ingin memberitahu "aku seorang muslimah".

Dengan memakainya, muslimah itu sendiri terasa bahawa dia membawa amanah perisai itu. Menjaga setip gerak geri, itulah amanahnya. "sedarlah muslimah yang berperisai. Anda membawa amanah tudung labuh. Apabila ia melindungimu, jangan engkau membolosinya dengan gerak gerimu yang melampaui batasmu sebagai seorang muslimah, kerana apabila kau membolosinya, engkau juga membolosi perisai muslimah yang lain".
Kini, sedih apabila kedengaran di telinga, "orang pakai tudung labuh ni bukan baik sangat pun". Seorang sahaja yang membolosi perisainya, semua yang bertudung labuh turut terkena tempiasnya. Memakai tudung labuh juga bukan kerana ingin memberitahu bahawa "aku ni alim", tapi cuba untuk menjaga diri dari fitnah dunia.

Sekilas pandang di sebuah 'blog' milik seorang muslimah tidak di kenali, terbaca sebuah kata-kata yang berbunyi:-

"Jangan kau sangka labuh tudungku ini tanda alim diriku, aku juga sepertimu masih mencari-cari segenap cahaya buat menerangi sepanjang perjalanan. Kerana tudungku ini bukan setakat menutupi tetapi melindung jua mengingatkan diri ini menjaga setiap gerak geri kerana akhlaq itu bunga diri".

Buktikanlah anda seorang muslimah yang berkeperibadian seperti seorang muslimah.

Wahai muslimah, menutup aurat itu satu kewajipan, tidak kiralah bagaimana gayanya. Berpakaianlah seperti seorang muslimah, kerana pakaian melambangkan diri kita. InsyaAllah.

- Artikel iluvislam.com

Cinta Mahabbah


Tiada kata secantik bahasa
untuk ku puji adinda
Tiada gambar seindah lukisan 
nak ku tunjukkan perasaan
Tersusun indah senikata dalam irama dan lagu yang didendangkan. Melahirkan rasa cinta seseSaveorang kepada orang yang dicintainya. Terjadi cinta kerana fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah sememangnya cinta terjadi kerana mematuhi kehendak Allah. Justeru kesempurnaan cinta seseorang kepada Allah ialah bila dia mencintai seseorang yang dicintai oleh Allah dan dia membenci seseorang yang dibenci oleh Allah.
C I N T A adalah asas bagi segala jenis ibadat. Ibadat menjadi tidak sah tanpa disertai dengan rasa cinta dengan kerendahan hati yang sempurna, seperti senikata lagu di atas perbuatan cinta dan rasa cinta diluahkan dengan kerendahan hati (ikhlas).
Anugerah cinta yang dikurniakan Allah dan nikmat yang dirasainya amatlah tidak ternilai harganya hingga kadangkala seseorang sanggup mengorbankan nyawa untuknya.
Tetapi, bolehkah kita menyamakan cintanya kita kepada seseorang dengan cintanya kita kepada ALLAH? Tentu sama sekali jawapannya, TIDAK. Kerana barangsiapa yang menyamakan cintanya kepada seseorang sebagaimana dia menyintai Allah atau mencintai sesuatu selain Allah atau mencintai sesuatu bukan kerana Allah maka orang tersebut termasuk ke dalam golongan orang yang telah 'syirik' iaitu menyekutukan Allah. Nauzu Billah Min Zalik.
Ini kerana hawa nafsu CINTA harus disesuaikan mengikut ajaran Rasulullah s.a.w , sebagaimana ayat di dalam surah Ali' Imran  ayat 31.
" Katakanlah (wahai Muhammad): " Jika kamu benar mencintai Allah ikutilah daku, nescaya Allah akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
Ayat tersebut menjelaskan bahawa, 'Jika kita benar mencintai Allah ikutilah ajaran Rasulullah SAW iaitu kekasih Allah yang menerima risalah daripada Allah melalui malaikat Jibrail dan menyampaikannya kepada kita, umat manusia. Kenapa? Kerana di dalam risalah itulah terdapat segala jenis ibadat serta ajaran yang dapat disesuaikan dengan hawa nafsu cinta.
Selanjutnya Allah berjanji kepada sesiapa yang memenuhi syarat di atas iaitu mematuhi ajaran Rasulullah SAW , Allah akan mencintainya. Akhirnya Allah berjanji akan mengampuni dosa-dosanya.
Apakah Erti Cinta?
C I N T A ditafsirkan mengikut tafsiran orang yang mengunkapkan kata cinta malahan kata cintanya kadang-kadang terkeliru dengan perbuatannya sendiri. Ini bermakna mereka tidak dapat memahami erti cinta itu sebenar.
Marilah, kita memahami erti cinta; cinta sebenar, cinta palsu dan syirik cinta.
Syirik cinta, iaitu menyamakan cinta kita kepada Allah sama seperti cinta kita kepada seseorang atau makhluk yang lain dengan perbuatan mengagongkannya dan rasa takut padanya. Sedangkan yang layak untuk diagongkan dan rasa takut hanyalah untuk Allah semata-mata. Ini adalah cinta salah, cinta syirik, janganlah kita terjerumus ke dalam jenis cinta ini.
Janganlah kita juga tertipu dan terjerumus dalam cinta palsu atau cinta yang tak cukup iaitu hanya menuturkan kata menyintai ALLAH SWT tetapi mengingkari syariatnya. Cinta jenis ini tidak mencukupi untuk melayakkan kita memasuki syurga Allah dan terhindar daripada azab neraka. Kenapa? Kerana orang munafik dan orang kafir juga cinta kepada Allah.
Mereka menuturkan kata menyintai ALLAH tapi mereka sebenarnya orang yang kufur pada nikmat akal, pendengaran dan penglihatan. Mereka mengkhianati apa yang dituturkan kerana mereka mengingkari apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW aitu dengan tidak mematuhi perintah syariatnya yang datangnya dari Allah swt. Cinta mereka tidak sempurna (tidak cukup) bila mengakui kalimah syahadat yang pertama tetapi mengingkari kalimah syahadat yang kedua.
Bukankah itu yang banyak terjadi pada masa kini, golongan yang Islam pada luarannya tetapi kafir pada dalamannya?  Nauzu Billah Min Zalik.
Justeru, janganlah kita sekadar tahu mengucapkan kata cintq tapi buta hati akan makna cinta sebenar . Erti cinta sebenar ialah apabila kita cinta kepada apa yang dicintai oleh Allah. Cinta (patuhi) apa yang diperintahkan oleh Allah dan benci pada apa yang dilarang oleh Allah. Cinta ini membawa kita ke jalan Allah dan seterusnya menjadi muslim sejati iaitu orang yang dicintai Allah.
Kedua, erti Cinta Sebenar ialah Cintailah kerana Allah. Jika kita mencintai seseorang cintailah kerana Allah. Cintailah seseorang bukan saja pada rupanya tapi cintailah seseorang kerana cintanya yang dekat dengan Allah iaitu yang mengikut ajaran Allah.
Semoga dengan memahami kesempunaan cinta sebenar, maka kita akan berada di dalam landasan kebenaran. Raihlah ia dengan bermunajat kepada Allah supaya dikurniakan hati yang lapang untuk menerimanya dan mengimaninya. Kesempurnaan cinta bermula dari mencintai Allah yang Esa dan insyaAllah akan sempurnalah cinta kepada yang lain. SubhanAllah..
 Katakanlah "Saya Cinta Allah dan menyintai apa yang dicintai olehNya." Semoga dengan sentiasa membisikkan dalam hati, hati kita terarah dan terlatih untuk hanya menyintaiNya dan meyintai apa yang dicintai olehNya.
Cinta yang sebenar-benar cinta!